mp3

Rabu, Disember 02, 2009

Antara hutang RM57 dan SBP

SAYA amat terharu dengan nasib yang menimpa Nur Izzati Azahar, dari Sekolah Convent Tarcisian, Ipoh yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Hanya kerana dia anak pemandu lori dan ibunya pula pekerja kilang, dia gagal mendapatkan slip UPSR kerana masih berhutang kepada sekolah sebanyak RM57.

Dalam keadaan begini sepatutnya Guru Besar mengenepikan sebentar keegoan kerana hendak mempertahankan prosedur pejabat tetapi pada masa yang sama telah melukakan hati seorang murid yang berjaya menyumbang peratusan kejayaan Sekolah Convent Tarcisian.

Saya juga amat bersetuju dengan pandangan Hafiz Seremban dan Pelajar Tingkatan Lima, Shah Alam, berkaitan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SPB) yang sekarang ini didominasi oleh golongan berada.

Pada pandangan saya sepatutnya Pengarah Pelajaran Negeri Perak janganlah cepat sangat membuat kenyataan bahawa perkara berhutang yuran dengan pihak sekolah adalah perkara biasa dan seolah-olah beliau bersetuju dengan tindakan sekolah untuk tidak memberikan slip keputusan.

Saya pernah menguruskan permohonan anak saudara saya tiga tahun lalu dan memang dia berkelayakan kerana mendapat 5A beserta dengan kegiatan kokurikulum. Oleh kerana dia tidak ada pengaruh politik atau saudara mara di Kementerian Pelajaran, maka permohonannya gagal. Akhirnya setelah puas merayu dapatlah anak saudara saya itu ke SBP bagi pengambilan ke tiga atau empat setelah ada calon yang menolak.

Saya amat terkejut apabila satu hari saya membantu adik saya untuk mengambil anaknya di sebuah SBP di Negeri Sembilan, saya melihat berbaris kereta BMW, Mercedes, Naza, Honda, Camary dan Berabus pun ada. Mana silapnya Kementerian Pelajaran? Saya difahamkan oleh kawan-kawan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pun sama juga keadaannya. Jadi dimana kah keadilan ini?

Silalah buat perubahan dan berilah keadilan pada pelajar miskin seperti Nur Izzati. Belalah nasib mereka. Saya juga datang daripada keluarga miskin anak penoreh getah.

Saya telah terpilih ke MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan, kira-kira 37 tahun dulu (kumpulan pertama) dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Ia telah merubah nasib saya daripada miskin kepada kehidupan sekarang ini. Terima kasih Mara.

Saya berharap pertimbangkan Nur Izzati ke mana-mana SPB demi masa depannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan